Biodata

My photo
Bachok, Kelantan, Malaysia
Guru Cemerlang Kesusasteraan Melayu Moden STPM Panel Penggubal soalan percubaan peringkat negeri Pemeriksa Kertas Kesusasteraan Melayu STPM Penceramah Teknik Menjawab Kesusasteraan Melayu Kertas 2

Soalan dan Skema KM 2 SMK Sri Gunung


SULIT*
(Tiga jam)
KERTAS 2
(KESUSASTERAAN MELAYU MODEN)
KESUSASTERAAN MELAYU
PERTENGAHAN
TAHUN 2008
922/2
PEPERIKSAAN PERTENGAHAN TAHUN 2008
TINGKATAN ENAM ATAS

SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN SRI GUNUNG
16390 BACHOK, KELANTAN.

SIJIL TINGGI PERSEKOLAHAN MALAYSIA
(MALAYSIA HIGHER SCHOOL CERTIFICATE)
Arahan kepada calon:
Jawab empat soalan sahaja: satu soalan daripada tiap-tiap Bahagian A, B, C, dan D. Markah untuk tiap-tiap soalan diberikan dalam tanda kurung [ ]

Kertas soalan ini terdiri daripada 6 halaman bercetak.
922/2


Bahagian A: SEJARAH KESUSASTERAAN MELAYU MODEN
DAN KRITIKAN SASTERA
Jawab satu soalan sahaja dalam bahagian ini.

1. Perkembangan Kesusasteraan Melayu mengalami zaman perubahan dalam tahun-tahun 1950-an, ramai tokoh dan banyak karya yang lahir pada era tersebut adalah hasil daripada sumbangan institusi yang wujud pada masa tersebut.

Berdasarkan kenyataan di atas,

a). Nyatakan apakah nama institusi penting yang muncul pada era 50-an dan jelaskan latarbelakang penubuhannya. [4]

b). Jelaskan tiga tujuan penubuhan institusi tersebut. [9]

c). Huraikan empat sumbangan lazim institusi di atas. [12]

2. Pendekatan sosiologi merupakan satu cara melihat karya sastera dengan mengaitkannya dengan masyarakat, sama ada masyarakat tempat karya itu dihasilkan atau masyarakat yang melahirkan karya itu sendiri, pendekatan ini mementingkan masyarakat kerana ia percaya penuh bahawa karya adalah cermin masyarakat. Justeru itu, kesusasteraan sebagai dokumen sosial bagi masyarakat yang melahirkannya.

Berdasarkan kenyataan tersebut, jelaskan

a). maksud pendekatan sosiologi [4]

b). Huraikan maksud penerimaan kesusasteraan sebagai satu dokumen sosial [9]

c). bagaimana peristiwa atau latarbelakang masyarakat dapat menjadi bahan bagi seseorang pengarang berkarya. [12]

Bahagian B:NOVEL DAN CERPEN


Jawab satu soalan sahaja dalam bahagian ini.

3 . Persoalan agama adalah antara persoalan penting yang cuba digarap oleh Keris Mas melalui novel Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur.

(a). Jelaskan persoalan agama dalam novel Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur [15]

(b). Berikan dua watak utama yang menegakkan agama Islam dalam novel serta huraikan peranannya. [10]


4 . Jawab soalan-soalan berikut berdasarkan petikan di bawah

“Sepi dengan jiran-jiran.”
“Ah, pedulikan.”
“Tapi, Islam tidak membenarkan kita berlaku begitu. Sekurang-kurangnya empat puluh buah rumah mesti diambil berat.”
“Dan, yang dakwah sendiri tidak mahu menegur dan mengambil tahu hal jiran, bagaimana you nak baiki itu semua?”
Isterinya diam. Dia segera teringat kepada jiran depan yang tidak pernah mengambil tahu hal jiran. Malah ketika dia dan seorang jiran India membakar sarang tebuan di atas pokok didepan rumah ustaz dakwah itu, ustaz itu tidak menjengokkan mukanya. Tapi amat garang dan banyak nasihatnya sewaktu membaca khutbah Jumaat. Suaranya amat lantang: berjiran, bertakwa, mengambil berat hal fakir miskin, tolong-menolong, ribu-ribu lagi.

(Cerpen Kesementaraan, S.Othman Kelantan, Mutiara Sastera Melayu Moden, hal. 55.)

(a). Apakah pekerjaan watak ‘dia’ dan berikan tiga sikapnya berdasarkan cerpen di atas. [4]

(b). Nyatakan teknik penceritaan cerpen dalam petikan di atas dan kesannya terhadap penceritaan. [9]

(b). Berikan tiga citra masyarakat beragama yang dipaparkan dalam cerpen.
[12]

Bahagian C: Drama
Jawab satu soalan sahaja dalam bahagian ini.
5. Drama Lawyer Dahlan karya Shaharom Husain banyak mendedahkan kepincangan sosial masyarakat kota serta situasi penghidupan selepas perkahwinan.

(a). Jelaskan gambaran negatif masyarakat kota dalam drama di atas. [15]

(b). Nyatakan kesilapan Dahlan dan Rahimah menjalankan tanggungjawab dalam membentuk sebuah keluarga. [10]

6. Soalan-soalan berikut berdasarkan petikan di bawah.

PEREMPUAN II: Dalam keadaan yang serba keliru, dalam keadaan yang serba terharu, isteri Ayub pun meninggalkan Ayub.

PEREMPUAN I: Tinggalkan Ayub dalam kesakitan; dan yang lebih menyedihkan, dalam kekosongan. Tetapi, Ayub terus sujud kepada Allah, sujud dan sujud, memohon penawar rahmat. Penawar rahmat kepada J.M Aziz adalah:

Hujan turun
Membawa khabar berita
Baik lagi molek.

Hujan turun
Membawa sinar warna
Pelangi
Hujan turun
Membawa gambar rupa
Rahmat dari langit.

Hujan turun
Membawa penawar ke muka
Bumi
Menghapuskan demam panas
Menghilangkan penyakit kering
Kontang.

Hujan turun
Membawa penawar ke muka
Bumi
Melimpahkan rahmat Allah
Menghidup yang mati.
( Drama Malam Ini Penyu Menangis,
Noordin Hassan, Mutiara Sastera Melayu Moden, hal.259.)

(a). Apakah nama isteri Nabi Allah Ayub, dan kenapakah isteri Ayub meninggalkan Ayub? [3]

(b). Nyatakan cabaran-cabaran yang terpaksa ditempuh oleh Nabi Allah Ayub mengikut drama ini. [8]

(c). Apakah peranan hujan mengikut sajak dalam petikan di atas? [6]

(d). Jelaskan mesej kisah nabi Allah Ayub dalam keseluruhan drama Malam Ini Penyu Menangis. [8]


Bahagian D: SAJAK


Jawab satu soalan sahaja dalam bahagian ini.

7. Baca sajak di bawah ini, dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.

Membunuh Mimpi
(sebuah pesanan untuk Mayawati)

Usman Awang

Usiamu menghampiri sunti dara
Mengibarkan rasa diselendang sutera
Menyembunyikan malu di bilik terkunci
Diselubungi rindu lagu dan tari
Seribu bayang seribu mimpi
Yang manis indah kerana itulah mimpi.

Mimpi itu adalah keajaiban anugerah
Tapi dialah nanti menyebabkan kau gundah
Terasing dicermin kenyataan
Kehidupan yang ganas dan kejam.

Sunti daraku,
Jangan kau pinjam lamunanku, hati seorang ayah
Yang kini kubenci sebab begitu lemah
Selamanya mimpiku hidup ini begitu indah.

Bunuhlah mimpi itu, anakku
Kau membunuh segala palsu
Lagu dan rindu
Yang selalu menipumu.

Dapatkan keberanian hidup baru
Dari kekuatan hati dan ketinggian ilmu.
( Membunuh Mimpi, Usman Awang, 1987,
Mutiara Sastera Melayu Moden.)

(a). Nyatakan empat perkara negatif yang wujud dalam kehidupan dunia remaja. [8]

(b). Jelaskan. harapan ayah terhadap anak gadisnya. [8]

(c). Bincangkan keindahan sajak Membunuh Mimpi. [9]


8. Baca sajak di bawah ini , dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya

Warga Petani
Dharmawijaya

Sepatutnyalah
hamparan kasihku
warga petani
kubentangkan di rumah relamu
selagi
ladang keringatmu
mengisi
lapar kenyang
siang malamku.

Selamanyalah
junjung hormatku
warga petani
kuletakkan di langkah setiamu
selagi
lelah budimu
menjadi
darah daging
gelisah hidupku.
( Warga Petani, Dharmawijaya, 1983.
Mutiara Sastera Melayu Moden.)

(a). Jelaskan. nada sajak di atas [4]

(b). Nyatakan mesej yang terdapat dalam sajak. [9]

(c). Berikan penilaian anda terhadap kepuasan estetika sajak di atas [12]




…………………….selamat menjawab,semoga berjaya…………………………………………
Whs,smksg,008


SKEMA JAWAPAN PEPERIKSAAN PERTENGAHAN TAHUN 2008

Bahagian A: SEJARAH KESUSASTERAAN MELAYU MODEN DAN KRITIKAN
SASTERA

Soalan 1:
a). Nyatakan apakah nama institusi penting yang muncul pada era 50-an dan jelaskan latarbelakang penubuhannya. [4]

Institusi Penting era 50-an
- Angkatan Sasterawan 50 / ASAS 50

Latarbelakang penubuhan
F1 : Ditubuhkan pada 6 Ogos 1950
F2: : Di rumah Cikgu Mas / Muhammad Arif Ahmad
F3 : Di no.24 Jalan Harisson / Harisson Road Singapura
F4 : Seramai 19 orang penulis telah hadir pada pertemuan pertama tersebut
F5 : Pengerusi pertama yang telah dilantik bagi mengetuai ASAS 50
ialah Keris Mas.

Institusi penting 1 markah
Latarbelakang: Pilih 3 isi sahaja
1 isi = 1 markah
3 isi x 1 markah = 3 markah

b). Jelaskan tiga tujuan penubuhan institusi tersebut. [9]

F1 : Memperluaskan dan mempertinggikan martabat kesusasteraan dan
kebudayaan Melayu.

H1 : Ahli-ahli Asas 50 bersepakat untuk bersama-sama berjuang untuk
memperluas dan mempertinggikan status kesusasteraan dan kebudayaan
Melayu yang menjadi tunjang dan tulang belakang bangsa yang majmuk di
Tanah Melayu sekitar tahun 1950-an.
.
C1 : - mempelajari bidang karangan tentang sastera : seperti cerita, lakonan, buku,
rencana, pengetahuan, kebudayaan dan peradaban Melayu.
-mengubah dan mencipta perkara-perkara di atas yang mengandungi aliran
dan fikiran yang maju untuk disiarkan dan diterbitkan.
-mengatur dan mengadakan syarahan dan perdebatan tentang segala
lapangan sastera.
-menyatakan sebarang usaha karang-mengarang tentang bahasa dan sastera.





F2 : Melindungi hak-hak muslihat seluruh ahli dan pengarangnya.

H2 : Angkatan Sasterawan 50 juga mengariskan matlmatnya untuk menjaga dan
melindungi anggotanya dari segi undang-undang dan peraturan negara. Ahli-
ahli ASAS 50 akan mendapat perlindungan undang-undang dan hak yang
sewajarnya sebagai penulis atau pengarang.

C2 : -menentukan bayarang mengikut harga karangan yang dihasilkan.
-membantu sasterawan dalam menajukan cita-cita dan kewangan.
-memberi perlindungan di sisi undang-undang, jira tulisan ahli terkeluar dari
pada undang-undang.
-mempelajari undang-undang negeri yang berhubung dengan penerbitan.


F3 : Mengadakan pembaharuan dalam sastera tanpa melenyapkan yang lama.

H3 : Asas 50 juga mengariskan matlamat pertubuhannya di mana ahli-ahlinya akan
mengadakan dan menerima pembaharuan – pembaharuan dalam bidang
sastera dan bahasa selari dengan perkembangan zaman. Tetapi dalam hal yang
sama Asas 50 tidak akan menghapuskan khazanah dan langgam sastera lama
yang telah diwarisi demi untuk kemajuan sastera dan bahasa Melayu.

C3 : -memaju dan memperbaiki bahasa Melayu dalam penghasilan karya sastera.
-mengubah, mencipta, membasmi dan membina perkataan-perkataan untuk
memperkayakan bahasa dan sastera.


c). Huraikan empat sumbangan lazim institusi di atas. [12]

F1 :Penulis Angkatan ASAS 50 bergiat cergas dalam bidang penulisan sajak.

H1 : Sajak-sajak penulis ASAS 50 tersiar dalam akhbar dan majalah Hiburan,
Mutiara, Kencana, Utusan Zaman dan Mastika.
Sajak ASAS 50 membawa persoalan perjuangan kemerdekaan , nasib kaum
buruh, dan kemiskinan petani yang selari dengan slogannya ”Seni Untuk
Masyarakat”.
Penyajak ASAS 50 adalah Usman Awang(Tongkat Warrant) dan Masuri SN.

C1: Sajak ”Nelayan, Gadis Kuburan, Pak Utih, Nasib Buruh dan Ke Makam
Bonda” karya Usman Awang.
Antologi Puisi Baru, Awan Putih, Warna Suasana karya Masuri SN.

F2 :Penulis Angkatan ASAS 50 bergiat cergas dalam bidang penulisan cerpen.

H2 : Cerpen-cerpen penulis ASAS 50 tersiar dalam akhbar dan majalah Hiburan,
Juita,Mutiara, Mastika, Utusan Zaman .
Cerpen ASAS 50 membawa persoalan darurat , nasib kaum buruh, dan
ketidakadilan sosial yang selari dengan slogannya ”Seni Untuk Masyarakat”.
Cerpenis ASAS 50 adalah Keris Mas, Awa nil-Sarkam dan A. Samad Said.

C2 : Cerpen ASAS 50 Antologi Cerpen “ Mekar dan Segar dan Patah Tumbuh “ karya
Keris Mas.


F3 : Penulis Angkatan ASAS 50 bergiat cergas dalam bidang kritikan sastera.

H3 : Tulisan kritikan sastera ASAS 50 banyak tersiar dalam majalah Mastika dan
Utusan Zaman .
Penghasilan tulisan kritikan sastera ASAS 50 memperjuangkan slogan ”Seni
Untuk Masyarakat” dan fungsi kesusasteraan kepada masyarakat.
Berlaku polimek antara Asraf –”Seni Untuk Masyarakat ”dengan Hamzah –
”Seni Untuk Seni” menyebabkan Hamzah keluar dari ASAS 50.
Pengkritik ASAS 50 adalah Asraf, Keris Mas dan Hamzah.

C3: Tulisan kritikan Aasas 50 ”Mencari Pembaharuan Dalam Kesusasteraan Melayu”
dan ”Esei Sastera ASAS 50 ”(Antologi Esei Kritikan bersama) karya Araf.
”Asas Kebudayaan Kebangsaan (antologi bersama) dan ”Di sekitar Pemikiran
Kesusasteraan Malaysia 1957-1972 (antologi bersama) karya Keris Mas.

F4 : Penulis Angkatan ASAS 50 juga menceburi bidang penulisan novel.

H4 : Penulisan novel juga diceburi oleh penulis ASAS 50 walaupun tidak begitu cergas
dan popular.
Persoalan utama penulisan novel ASAS 50 ialah percintaan muda-mudi,
kemiskinan dan ketidak adilan sosial.
Penulis novel ASAS 50 adalah Rosmera dan Wijaya Mala (Abu Yazid Abidin)

C4 : Novel “Perempuan Berbaju Hijau, Melati Korban Cinta Suci, Pelukis Muda dan
Meja Bola” karya Rosmera.
Novel “ Mata Intan, Saka Kampung Gergasi , Muda Tak Sudah” karya Wijaya
Mala.

F5 : Penulis ASAS 50 juga menceburi bidang penulisan Bahasa.
H5 : Penulis ASAS 50 gigih berusaha bagi memperkembangkan dan mendaulatkan
bahasa Melayu di sekitar tahun 50-an.
Berhasil menjadikan tulisan rumi sebagai tulisan rasmi dengan tidak
melupakan tulisan jawi.
Tokoh bahasa ASAS 50 adalah Asraf

C5 : ASAS 50 menjayakan Kongres Bahasa Melayu dan Persuratan Melayu I, II dan III.
Soalan 2:
a). maksud pendekatan sosiologi [4]

F1 : Karya sastera mempunyai hubungkait dengan masyarakat
F2 : Karya sastera adalah merupakan cerminan masyarakat


b). Huraikan maksud penerimaan kesusasteraan sebagai satu dokumen sosial [9]

F1 : Karya sastera adalah bayangan kehidupan sosial sesebuah
masyarakat/menggambarkan kehidupan sesebuah masyarakat.
H/C1 : Gambaran kehidupan masyarakat akan dikisahkan dengan sejelas dan
sehidup mungkin tentang peristiwa ataupun emosi dalam cereka ini dapat
dilihat sepertimana yang terdapat dalam cerpen Nagasaki karya Abdullah Hussein.

F2 : Sastera merakamkan peristiwa dan nilai masyarakat pada satu-satu
masa
H/C2 : Dapat dikisahkan latar tempat, masa dan keadaan satu-satu masyarakat
beserta tuntutan moral atau adab yang dianuti ketika itu.

F3 : Pandangan hidup yang terdapat dalam karya sastera dianggap
sama dengan pandangan masyarakat pada masa tersebut.
H/C3 : Dapat menggambarkan situasi yang sama dengan zaman Sebenar.
Karya sastera dapat dijadikan sumber atau maklumat Tentang keadaan masyarakat pada zaman tersebut. Contoh: Cerpen “Macam Gergaji Dua Mata”

F4 : Daripada karya dapat dicari maklumat / sumber tentang zaman
tersebut.
H/C4 : Dapat ditemui maklumat dan sumber berkaitan dengan sesuatu zaman dan
era yang menjadi perhatian dan tumpuan pengarang dalam sesebuah karya.

Pilih 3 isi sahaja
1 isi = 3 markah ( 2 markah fakta, 1 markah huraian/contoh)
3 isi x 3 markah = 9 markah

c). bagaimana peristiwa atau latarbelakang masyarakat dapat menjadi bahan bagi seseorang pengarang berkarya. [12]

F1 : Pengarang sebagai ahli masyarakat / Pengarang dapat pengalaman
dari masyarakat / kehidupan masyarakat yang dilalui sendiri oleh pengarang



H/C1 : Menjadikan kehidupan masyarakat dan dirinya sebagai bahan untuk
pengarang berkarya. Contohnya novel saudagar Besar Dari Kuala Lumpur karya Keris Mas. (mana-mana karya sama ada moden atau tradisional diterima)

F2 : Sastera merakamkan kehidupan masyarakat kerana sastera itu
sendiri mengenai masyarakat / kehidupan masyarakat dijadikan isi cerita.
H/C2 : Kehidupan itu difahami dan direnungi, difikir, dan diimaginasikan oleh
pengarang untuk ditulis kembali dalam bentuk perkataan dan disusun menjadi ayat. Contohnya Sajak Warga Petani karya Dharmawijaya.

F3 : Penyusunan peristiwa dan pengalaman / Peristiwa disusun dan
dirancang dengan baik.
H/C3 : Ianya terancang dan dibangunkan dengan unsur-unsur sastera seperti
bahasa sastera, emosi, intelek, imaginasi dan teknik.

F4 ; Kehidupan yang dibawa masuk ke dalam karya itu telah melalui
proses tokok tambah. / kreativiti pengarang / imaginasi / kehendak pemikiran pengarang.
H/C4 : Telah disesuaikan dengan kehendak pengarang . Contoh, Drama Malam
Ini Penyu Menangis karya Dato Nordin Hassan.

F5 : Seorang pengarang tidak boleh menghasilkan karya dari imaginasi /
khayalan semata-mata.
H/C5 : Pengarang harus merujuk pada masyarakat / situasi yang berlaku dalam
masyarakat barulah karya sastera yang dihasilkan lebih realistik.

Pilih 3 isi sahaja
1 isi = 4 markah (2 markah fakta dan 2 markah huraian / contoh)
3 isi x 4 markah = 12 markah.

0 comments:

Post a Comment